Monday, July 26, 2010

kenapa Syaaban istimewa..?

* this entry is for a friend (and myself too) and hopes it can brings understanding to other people as well *

Semua bulan dalam setahun adalah untuk Allah. Dia yang menjadikan bulan-bulan yang terdiri daripada 12 bulan dalam setahun. Firman Allah (maksudnya):

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya), dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.

(At-Taubah 9:36)


Namun Syaaban mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia merupakan bulan yang paling disukai oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Dinamakan Syaaban kerana kebaikannya yang banyak dan bercabang- cabang. Lantaran itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengkhususkan amalan-amalan tertentu dan melebihkannya berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Anas bin Malik radiallahuanhu berkata:
“Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berpuasa setiap hari dan tidak meninggalkannya sehingga kami berkata: Tidak adakah niat dalam diri baginda untuk berbuka (tidak berpuasa)? Kemudian (pada masa lain) baginda berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami berkata: Tidak adakah niat dalam diri baginda untuk berpuasa? Dan puasa yang paling digemari oleh baginda ialah pada bulan Syaaban.”


At-Tirmizi dan an-Nasa’i meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa dia telah bertanya Nabi sallallahu alaihi wasallam:

“Ya Rasulallah, saya tidak pernah melihat tuan berpuasa dalam mana-mana bulan sebagaimana tuan berpuasa dalam bulan Syaaban.” Baginda menjelaskan (maksudnya): “Bulan ini manusia lupa tentangnya kerana ia terletakdi antara Rajab dan Ramadan. Sedangkan Syaaban adalah bulan diangkat amalan-amalan ke hadapan Tuhan Rab al-’alamin. Maka aku suka amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”


Tentang kelebihan malam ke-15 atau nisfu Syaaban, terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): “Allah tabaraka wa taala memerhatikan makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan semuanya kecuali musyrik atau musyahin (orang yang suka bermusuh).” Isnad Hadis ini adalah dhaif.

Begitu juga hadis-hadis lain berkenaan fadilat nisfu Syaaban serta amalan-amalannya semuanya dhaif, mungkar dan maudhu’ (rekaan). Dalam hal ini Imam an-Nawawi berkata: "Solat Rajab atau solat raghaeb dan solat Syaaban adalah dua bidaah yang mungkar dan buruk. Maka wajib atas kamu wahai hamba Allah, menyembah Allah dengan apa yang disyariatkan dalam kitab-Nya atau yang diterangkan Nabi sallallahu alaihi wasallam dalam sunahnya sahaja...”

Sebenarnya Syaaban adalah bulan persediaan untuk menyambut Ramadan yang mulia. Sebahagian ulama berkata: Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram dan Ramadan bulan menuai hasilnya, bukan Ramadan baru hendak mula. Salafussoleh mula mengunci gudang-gudang mereka pada bulan Syaaban. Mereka berkata: Bulan ini adalah bulan al-Qurra’ (pembaca dan penghafaz al-Quran).

Antara perkara yang perlu diberi tumpuan pada bulan Syaaban ialah:

1. Membanyakkan puasa sunat untuk membiasakan diri melaksanakan kewajipan bulan Ramadan. Seeloknya dimulakan sejak awal dan puasa sepenuhnya separuh pertama atau puasa setiap hari Isnin dan Khamis ditambah dengan hari putih (13, 14 dan 15 haribulan).

2. Bertaubat dengan sepenuh hati, tinggalkan maksiat, berhenti daripada dosa dan jauhi perkara mungkar. Datangilah Allah dengan jiwa yang bersih dengan membuka lembaran hidup yang baru.

3. Banyakkan doa (اللهم بلغنا رمضان) “Allahumma ballighna Ramadan” yang bermaksud: “Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadan!” Doa itu dapat membantu memperkuat azam dan memantapkan langkah menyambut Ramadan dengan penuh kesungguhan.

4. Banyak mendampingi al-Quran dengan membaca, tadabur, mempelajari makna dan membetulkan bacaan.

5. Laksanakan qiamulail sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum tidur atau dua rakaat sebelum Subuh.

6. Ulangkaji hukum-hakam puasa, fadilat-fadilat, adab-adab serta sunat-sunatnya.

7. Ingat-memperingatai antara satu sama lain tentang kedatangan tetamu agung yang hampir tiba dan benar-benar merasai dekatnya pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup supaya membuat persediaan yang sewajarnya.

Moga-moga kita termasuk dalam golongan hamba yang mendapat anugerah keampunan, kerahmatan dan syurga yang berkekalan.



entry di ambil dari sini
you can also read here